Wednesday, October 7, 2009

Pendakwah Bukan Penghukum

Pendakwah Bukan Penghukum

Islam adalah agama yang sempurna yang menekankan konsep keseimbangan. Dua perkara yang menafikan sesuatu keseimbangan iaitulah ifrath (terlalu keras) dan tafrith (sambil lewa). Skop perbincangan di sini untuk menyingkap sisi pemikiran keras yang memudaratkan umat Islam, yang meresap masuk dalam sesetengah gerakan Islam. Kita sangat prihatin dengan perkembangan ini kerana sayangkan gerakan Islam yang seharusnya menjadi antara wadah memperkasakan Ummah.

Namun, seseorang yang tidak memiliki tidak akan dapat memberi. Oleh sebab itu, seseorang yang rosak tidak akan membawa melainkan kepada kerosakan juga, walaupun dia sangka ianya sebagai kebaikan. Maka, hendaklah keracuan pemikiran yang berunsur kekerasan dalam neraca Islam perlu dibendung dan disekat daripada terus merebak dalam gerakan Islam.

Antara keracuan pemikiran yang menyelinap masuk dalam sesetengah amilin yang terlibat dalam gerakan dakwah adalah pemikiran menghukum sehingga ada yang sanggup menuduh sesama muslim sebagai munafiq mahupun kafir. Bahkan, ada sesetengah pihak memberi jaminan kepada sebahagian muslimin yang terlibat dengan kemaksiatan sebagai “tidak akan masuk syurga”, padahal apa yang dilakukan olah ahli maksiat tersebut tidakpun membawa kepada kekufuran yang jelas sehingga membawa jaminan bahawasanya dia tidak akan masuk syurga dan seolah-olah tidak layak mendapat keampunan Allah s.w.t..

Keracuan pemikiran “menghukum” ini ada pelbagai versinya yang tersendiri dan berbeza skala pemusnahnya dalam masyarakat Islam antara satu versi dengan versi yang lain. Sesetengah mereka terlibat dengan ihtikar kebenaran dengan menganggap hanya amal dakwah mereka secara berkelompok sahaja yang menepati ajaran dan prinsip Islam sedangkan jemaah-jemaah lain yang muncul hanya memecahkan kesatuan amal golongan amilin. Mereka menolak bentuk kepelbagaian jemaah Islam dalam bergerak ke arah dakwah dan islah dalam masyarakat Islam khususnya. Malah, ada juga yang menghukum mereka yang tidak menyertai jemaah mereka sebagai orang yang keluar dari Al-Jamaah.

Keracuan pemikiran tersebut sudah ditolak secara jelas oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam fatwanya. Ia adalah bentuk meletakkan sesuatu dalil bukan pada tempatnya dan suatu penyalahgunaan nas-nas syarak.

Penyakit yang lebih besar daripada itu adalah, “menghukum” sesama muslimin sebagai kafir atau munafiq (aqidah) yang tidak layak untuk masuk syurga dan tidak layak mendapat keampunan Allah s.w.t. tanpa taubat, dengan maksiat yang mereka lakukan. Golongan ini tidak dapat membezakan antara orang yang meninggalkan ketaatan kerana kemalasan dan kefasiqan tanpa mengingkari kewajipan sesuatu yang wajib, dengan orang yang meninggalkan kewajiban kerana mengingkari kewajiban tersebut walaupun sudah mengetahui ianya diwajibkan dalam Islam dengan dalil-dalilnya.

Ia adalah sindrom pemikiran Khawarij yang mengkafirkan umat Islam dengan dosa yang telah mereka lakukan. Pemikiran sebeginilah yang cuba dibendung oleh generasi awal Al-Ikhwan sehinggakan Al-Ustaz Hasan Al-Hudaibi menulis kitab Du’at La Qudhat dalam membenteras fahaman Takfiri ini daripada gerakan Islam.

Seiring dengan itu juga adalah penyakit suka membid’ahkan perkara-perkara yang diperselisihkan para ulama’ mengenainya dengan maksud bid’ah syarak iaitu, sesiapa yang melakukannya akan masuk neraka. Mereka menghukum pengamal bacaan Yasiin (surah daripada Al-Qur’an) secara khusus pada malam Jumaat sebagai pembuat bid’ah yang bakal masuk neraka dengan amalan tersebut. Bahkan, sebahagian mereka menganggap, maksiat itu lebih ringan daripada mengkhususkan baca Yasiin pada malam Jumaat secara budaya (tiada orang mengkhususkannya secara syarak). Akhirnya, sampai kepada natijah, buat maksiat lebih ringan lagi daripada mengkhususkan ibadah pada waktu tertentu tanpa dalil.

Ini juga penyakit pemikiran yang jika meresap masuk dalam sesuatu gerakan Islam, maka gerakan Islam itu hanya berpakaian haraki tetapi berjiwa Khawarij yang tasyaddud dalam memahami Islam dan ajarannya.

Imamuna Al-Banna sangat menitik beratkan soal keterbukaan dalam masalah khilaf pada Usul 20nya khususnya pada Usul kelapan. Mereka yang terlibat dalam fahaman keras (tasyaddud) ini tidak sewajarnya mengaku sebagai penerus usaha dakwah Imamuna Al-Banna kerana Imam Hasan Al-Banna berpegang dengan manhaj tasammuh (toleransi) dan wasatiyyah (pertengahan) sebagaimana roh ajaran Islam itu sendiri.

Oleh sebab itulah, kita seru kepada amilin dalam gerakan Islam agar kembali menghayati manhaj pemikiran Imam Hasan Al-Banna yang sebenar agar tidak menyimpang jauh daripada wawasan pemikiran asal beliau dalam dakwah dan islah. Ini tidak bermakna hanya Imam Hasan Al-Banna sahaja mempunyai tasawwur yang sempurna dalam hal ini, tetapi setidak-tidaknya, beliau adalah antara pendakwah yang diakui sehingga dalam kalangan ulama’ sendiri, akan keseimbangan manhaj dan pemikirannya dalam dakwah dan islah. Apa yang penting, ukurannya tetaplah sumber hukum Islam itu sendiri iaitulah Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

Wallahu a’lam

Al-Faqir ilallah

Al-Bannawi

1 comment:

Anonymous said...

salaam... bagus...