Wednesday, October 7, 2009

Pendakwah Bukan Penghukum

Pendakwah Bukan Penghukum

Islam adalah agama yang sempurna yang menekankan konsep keseimbangan. Dua perkara yang menafikan sesuatu keseimbangan iaitulah ifrath (terlalu keras) dan tafrith (sambil lewa). Skop perbincangan di sini untuk menyingkap sisi pemikiran keras yang memudaratkan umat Islam, yang meresap masuk dalam sesetengah gerakan Islam. Kita sangat prihatin dengan perkembangan ini kerana sayangkan gerakan Islam yang seharusnya menjadi antara wadah memperkasakan Ummah.

Namun, seseorang yang tidak memiliki tidak akan dapat memberi. Oleh sebab itu, seseorang yang rosak tidak akan membawa melainkan kepada kerosakan juga, walaupun dia sangka ianya sebagai kebaikan. Maka, hendaklah keracuan pemikiran yang berunsur kekerasan dalam neraca Islam perlu dibendung dan disekat daripada terus merebak dalam gerakan Islam.

Antara keracuan pemikiran yang menyelinap masuk dalam sesetengah amilin yang terlibat dalam gerakan dakwah adalah pemikiran menghukum sehingga ada yang sanggup menuduh sesama muslim sebagai munafiq mahupun kafir. Bahkan, ada sesetengah pihak memberi jaminan kepada sebahagian muslimin yang terlibat dengan kemaksiatan sebagai “tidak akan masuk syurga”, padahal apa yang dilakukan olah ahli maksiat tersebut tidakpun membawa kepada kekufuran yang jelas sehingga membawa jaminan bahawasanya dia tidak akan masuk syurga dan seolah-olah tidak layak mendapat keampunan Allah s.w.t..

Keracuan pemikiran “menghukum” ini ada pelbagai versinya yang tersendiri dan berbeza skala pemusnahnya dalam masyarakat Islam antara satu versi dengan versi yang lain. Sesetengah mereka terlibat dengan ihtikar kebenaran dengan menganggap hanya amal dakwah mereka secara berkelompok sahaja yang menepati ajaran dan prinsip Islam sedangkan jemaah-jemaah lain yang muncul hanya memecahkan kesatuan amal golongan amilin. Mereka menolak bentuk kepelbagaian jemaah Islam dalam bergerak ke arah dakwah dan islah dalam masyarakat Islam khususnya. Malah, ada juga yang menghukum mereka yang tidak menyertai jemaah mereka sebagai orang yang keluar dari Al-Jamaah.

Keracuan pemikiran tersebut sudah ditolak secara jelas oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam fatwanya. Ia adalah bentuk meletakkan sesuatu dalil bukan pada tempatnya dan suatu penyalahgunaan nas-nas syarak.

Penyakit yang lebih besar daripada itu adalah, “menghukum” sesama muslimin sebagai kafir atau munafiq (aqidah) yang tidak layak untuk masuk syurga dan tidak layak mendapat keampunan Allah s.w.t. tanpa taubat, dengan maksiat yang mereka lakukan. Golongan ini tidak dapat membezakan antara orang yang meninggalkan ketaatan kerana kemalasan dan kefasiqan tanpa mengingkari kewajipan sesuatu yang wajib, dengan orang yang meninggalkan kewajiban kerana mengingkari kewajiban tersebut walaupun sudah mengetahui ianya diwajibkan dalam Islam dengan dalil-dalilnya.

Ia adalah sindrom pemikiran Khawarij yang mengkafirkan umat Islam dengan dosa yang telah mereka lakukan. Pemikiran sebeginilah yang cuba dibendung oleh generasi awal Al-Ikhwan sehinggakan Al-Ustaz Hasan Al-Hudaibi menulis kitab Du’at La Qudhat dalam membenteras fahaman Takfiri ini daripada gerakan Islam.

Seiring dengan itu juga adalah penyakit suka membid’ahkan perkara-perkara yang diperselisihkan para ulama’ mengenainya dengan maksud bid’ah syarak iaitu, sesiapa yang melakukannya akan masuk neraka. Mereka menghukum pengamal bacaan Yasiin (surah daripada Al-Qur’an) secara khusus pada malam Jumaat sebagai pembuat bid’ah yang bakal masuk neraka dengan amalan tersebut. Bahkan, sebahagian mereka menganggap, maksiat itu lebih ringan daripada mengkhususkan baca Yasiin pada malam Jumaat secara budaya (tiada orang mengkhususkannya secara syarak). Akhirnya, sampai kepada natijah, buat maksiat lebih ringan lagi daripada mengkhususkan ibadah pada waktu tertentu tanpa dalil.

Ini juga penyakit pemikiran yang jika meresap masuk dalam sesuatu gerakan Islam, maka gerakan Islam itu hanya berpakaian haraki tetapi berjiwa Khawarij yang tasyaddud dalam memahami Islam dan ajarannya.

Imamuna Al-Banna sangat menitik beratkan soal keterbukaan dalam masalah khilaf pada Usul 20nya khususnya pada Usul kelapan. Mereka yang terlibat dalam fahaman keras (tasyaddud) ini tidak sewajarnya mengaku sebagai penerus usaha dakwah Imamuna Al-Banna kerana Imam Hasan Al-Banna berpegang dengan manhaj tasammuh (toleransi) dan wasatiyyah (pertengahan) sebagaimana roh ajaran Islam itu sendiri.

Oleh sebab itulah, kita seru kepada amilin dalam gerakan Islam agar kembali menghayati manhaj pemikiran Imam Hasan Al-Banna yang sebenar agar tidak menyimpang jauh daripada wawasan pemikiran asal beliau dalam dakwah dan islah. Ini tidak bermakna hanya Imam Hasan Al-Banna sahaja mempunyai tasawwur yang sempurna dalam hal ini, tetapi setidak-tidaknya, beliau adalah antara pendakwah yang diakui sehingga dalam kalangan ulama’ sendiri, akan keseimbangan manhaj dan pemikirannya dalam dakwah dan islah. Apa yang penting, ukurannya tetaplah sumber hukum Islam itu sendiri iaitulah Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

Wallahu a’lam

Al-Faqir ilallah

Al-Bannawi

Tuesday, October 6, 2009

Imam Hasan Al-Banna dan Ayat-ayat Mutasyabihat

Imam Hasan Al-Banna berkata dalam risalah Aqo’id beliau ketika membuat kesimpulan tentang ayat-ayat mutasyabihat:

وخلاصة هذا البحث، أن السلف والخلف قد اتفقا على أن المراد غير الظاهر المتعارف بين الخلق، وهو تأويل في الجملة، واتفقا كذلك على أن كل تأويل يصطدم بالأصول الشرعية غير جائز، فانحصر الخلاف في تأويل الألفاظ بما يجوز في الشرع، وهو هيّن كما ترى، وأمر لجأ إليه بعض السلف أنفسهم

Maksudnya:

“Kesimpulan perbahasan ini bahawasanya Salaf dan Khalaf telah bersepakat bahawasanya yang dimaksudkan (pada ayat-ayat mutasyabihat tersebut) bukanlah dengan makna zahir yang diketahui oleh makhluk-makhluk. Ini adalah manhaj ta’wil. Mereka (Salaf dan Khalaf) juga bersepakat bahawasanya setiap ta’wil yang bercanggah dengan usul syar’iyyah tidak dibenarkan. Namun, perselisihan terbatas kepada ta’wil lafaz-lafaz mutasyabihat dengan ta’wil yang dibenarkan oleh syarak. Maka, khilaf tersebut sangat ringan sebagaimana yang anda lihat. Bahkan perkara tersebut (ta’wil mutasyabihat) juga dilakukan oleh sebahagian salafus-soleh itu sendiri”.

Kesimpulannya, pendirian Imam Hasan Al-Banna terhadap nas-nas mutasyabihat adalah:

Salaf dan Khalaf sepakat bahawasanya tidak boleh memahami nas-nas mutasyabihat dengan makna zahir yang digunakan oleh makhluk seperti contohnya, tidak boleh faham yadd dengan makna tangan, dan sebagainya.

Salaf dan Khalaf sepakat melarang ta’wil bagi nas-nas mutasyabihat dengan ta’wilan yang bercanggah dengan syarak.

Pada hakikatnya, Salaf dan Khalaf tetap menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat kerana tidak berpegang dengan makna zahirnya.

Perbezaan kecil antara Salaf dengan Khalaf adalah, majoriti khalaf menta’wilkan (memberi ta’wil) ayat-ayat mutasyabihat dengan ta’wil yang dibenarkan oleh usul syarak sedangkan golongan Salaf tidak memberi ta’wilnya. Pun begitu, menurut Imam Al-Banna, ada juga sebahagian Salaf yang menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat. Jadi, perbezaan antara Salaf dengan Khalaf sangat kecil.

Oleh sebab pendirian tegas Imam Hasan Al-Banna dalam berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat sebagaimana pendirian As-Sawad Al-A’zhom (majoriti umat Islam), maka golongan Mutasallif banyak mengkritik dan menuduh Imam Hasan Al-Banna sebagai sesat sebagaimana mereka menuduh sesat Al-Asya’irah (majoriti umat Islam).

Lihatlah bagaimana Dr. Umar Al-Asyqar berkata dalam buku “Al-Aqidah fi Allah” m/s 245:

حاول بعض المعاصرين كالشيخ حسن البنا والشيخ حسن أيوب وغيرهما أن يهوّنوا من خطيئة هؤلاء الذين عُرفوا باسم الخلف، وأن يقربوا بين وجهة نظر السلف والخلف، ولكن الحقيقة التي يجب أن تدرك أن مذهب الخلف الزاعمين أن ظاهر الصفات غير مراد المؤولين لها، مذهب بعيد عن الصواب، ولا لقاء بينه وبين مذهب السلف، ولا يشفع لبعض الخلف حسن نيتهم، فحسن النية لا يجعل الباطل حقاً

Maksudnya: “Sebahagian ahli ilmu zaman ini seperti Sheikh Al-Banna, Sheikh Hasan Ayyub dan sebagainya memperkecilkan kesalahan mereka yang dikenali sebagai Khalaf (merujuk kepada golongan Al-Asya’irah) dan mendekatkan pandangan Salaf dan Khalaf (dalam bab ayat mutasyabihat) sedangkan pada hakikatnya (-menurut sangkaan Umar Al-Asyqar-) yang perlu diketahui bahawasanya mazhab Khalaf yang menyangka makna zahir bagi sifat-sifat (ayat mutasyabihat) bukan dimaksudkan oleh Allah lalu mereka menta’wilkannya, maka itu merupakan mazhab yang jauh dari kebenaran. Tiada titik pertemuan antara Khalaf dengan mazhab Salaf dan sebahagian Khalaf tidak perlu lagi diberi pembelaan dengan niat mereka yang baik kerana niat yang baik tidak pernah menjadikan sesuatu kebatilan sebagai kebenaran”.

Lihatlah betapa Dr. Sulaiman Al-Asyqar yang merupakan antara golongan Mutasallif (pengaku salafi) mengkritik hebat Al-Asya’irah (dengan sebutan Khalaf) dan mengkritik hebat orang yang cuba mendekatkan kedua-dua manhaj, Salaf dan Khalaf dalam masalah mutasyabihat, seperti Imam Hasan Al-Banna.

Oleh kerana itulah, Dr. Al-Qaradhawi membalas kritikan Dr. Sulaiman dalam buku beliau Fusulun Fi Al-Aqidah dan membela pendirian Imam Hasan Al-Banna.

Pendirian Imam Hasan Al-Banna lalu dibela oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam buku Al-Fusul merupakan pendirian majoriti ulama’ Islam sejak zaman salaf sehingga zaman khalaf (kerana term salaf dan khalaf berkaitan dengan masa, bukan berkaitan dengan mazhab tertentu) yang mana ianya terus dipertahankan oleh golongan Ahlus-Sunnah wal Jamaah dari kalangan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah.

Setelah mendapati kesepakatan manhaj Salaf dan Khalaf yang tidak berpegang dengan makna zahir bagi nas-nas mutasyabihat, dapatlah difahami bahawasanya yang bercanggah dengan manhaj kedua-dua ini adalah manhaj Mujassimah (yang wujud sejak zaman Salaf) dan sesetengah Mutasallif (yang mengikut kefahaman Mujassimah terdahulu).

Hendaklah mereka yang mengaku mengikut fikrah Al-Ikhwan atau dakwah Imam Hasan Al-Banna berpegang dengan aqidah Imam Hasan Al-Banna yang juga merupakan aqidah Al-Asya’irah yang juga merupakan aqidah Salaf yang juga merupakan aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah dan menjauhi aqidah Mujassimah atau sebahagian Mutasallif. Bagaimana mengaku ikut dakwah Al-Ikhwan tetapi aqidah bercanggah dengan pendirian Hasan Al-Banna malah lebih mirip kepada Mujassimah mahupun kepada sesetengah Mutasallif?

Fahaman-fahaman sesat perlu dicegah daripada merebak ke dalam jemaah dakwah dan islah kerana jika tidak dibendung, maka jemaah tersebutlah sebenarnya membawa mafsadah (kemudaratan) kepada masyarakat Islam, walaupun atas nama islah. Bak kata Dr. Sulaiman juga: “niat yang baik tidak pernah menjadikan kebatilan sebagai suatu kebenaran”. Begitu juga, mengaku salaf tetapi tidak mengikut manhaj salaf sebenar tidak pernah menjadikan seseorang itu seorang salaf.

Usul 20 Hasan Al-Banna



1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.

2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang dipercayai.

3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama.

4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma’thur.

5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian (ta’abbud) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud.

6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan..

7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu’ hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.

8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.

9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.

10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. (Aali Imran: 7)

11. Setiap amalan bid‘ah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk.

12. Bid‘ah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti.

13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:

(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (Yunus: 63)

Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.

14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama Allah atau apa sahaja bid‘ah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul perkara yang lebih buruk.

15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.

16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut.

17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut.

18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan bermanfaat.

“Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.”

19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan kebenarannya atau sebaliknya.

20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu -sama ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan al-Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai kufur.