Showing posts with label Meluruskan Kefahaman. Show all posts
Showing posts with label Meluruskan Kefahaman. Show all posts

Wednesday, October 7, 2009

Pendakwah Bukan Penghukum

Pendakwah Bukan Penghukum

Islam adalah agama yang sempurna yang menekankan konsep keseimbangan. Dua perkara yang menafikan sesuatu keseimbangan iaitulah ifrath (terlalu keras) dan tafrith (sambil lewa). Skop perbincangan di sini untuk menyingkap sisi pemikiran keras yang memudaratkan umat Islam, yang meresap masuk dalam sesetengah gerakan Islam. Kita sangat prihatin dengan perkembangan ini kerana sayangkan gerakan Islam yang seharusnya menjadi antara wadah memperkasakan Ummah.

Namun, seseorang yang tidak memiliki tidak akan dapat memberi. Oleh sebab itu, seseorang yang rosak tidak akan membawa melainkan kepada kerosakan juga, walaupun dia sangka ianya sebagai kebaikan. Maka, hendaklah keracuan pemikiran yang berunsur kekerasan dalam neraca Islam perlu dibendung dan disekat daripada terus merebak dalam gerakan Islam.

Antara keracuan pemikiran yang menyelinap masuk dalam sesetengah amilin yang terlibat dalam gerakan dakwah adalah pemikiran menghukum sehingga ada yang sanggup menuduh sesama muslim sebagai munafiq mahupun kafir. Bahkan, ada sesetengah pihak memberi jaminan kepada sebahagian muslimin yang terlibat dengan kemaksiatan sebagai “tidak akan masuk syurga”, padahal apa yang dilakukan olah ahli maksiat tersebut tidakpun membawa kepada kekufuran yang jelas sehingga membawa jaminan bahawasanya dia tidak akan masuk syurga dan seolah-olah tidak layak mendapat keampunan Allah s.w.t..

Keracuan pemikiran “menghukum” ini ada pelbagai versinya yang tersendiri dan berbeza skala pemusnahnya dalam masyarakat Islam antara satu versi dengan versi yang lain. Sesetengah mereka terlibat dengan ihtikar kebenaran dengan menganggap hanya amal dakwah mereka secara berkelompok sahaja yang menepati ajaran dan prinsip Islam sedangkan jemaah-jemaah lain yang muncul hanya memecahkan kesatuan amal golongan amilin. Mereka menolak bentuk kepelbagaian jemaah Islam dalam bergerak ke arah dakwah dan islah dalam masyarakat Islam khususnya. Malah, ada juga yang menghukum mereka yang tidak menyertai jemaah mereka sebagai orang yang keluar dari Al-Jamaah.

Keracuan pemikiran tersebut sudah ditolak secara jelas oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam fatwanya. Ia adalah bentuk meletakkan sesuatu dalil bukan pada tempatnya dan suatu penyalahgunaan nas-nas syarak.

Penyakit yang lebih besar daripada itu adalah, “menghukum” sesama muslimin sebagai kafir atau munafiq (aqidah) yang tidak layak untuk masuk syurga dan tidak layak mendapat keampunan Allah s.w.t. tanpa taubat, dengan maksiat yang mereka lakukan. Golongan ini tidak dapat membezakan antara orang yang meninggalkan ketaatan kerana kemalasan dan kefasiqan tanpa mengingkari kewajipan sesuatu yang wajib, dengan orang yang meninggalkan kewajiban kerana mengingkari kewajiban tersebut walaupun sudah mengetahui ianya diwajibkan dalam Islam dengan dalil-dalilnya.

Ia adalah sindrom pemikiran Khawarij yang mengkafirkan umat Islam dengan dosa yang telah mereka lakukan. Pemikiran sebeginilah yang cuba dibendung oleh generasi awal Al-Ikhwan sehinggakan Al-Ustaz Hasan Al-Hudaibi menulis kitab Du’at La Qudhat dalam membenteras fahaman Takfiri ini daripada gerakan Islam.

Seiring dengan itu juga adalah penyakit suka membid’ahkan perkara-perkara yang diperselisihkan para ulama’ mengenainya dengan maksud bid’ah syarak iaitu, sesiapa yang melakukannya akan masuk neraka. Mereka menghukum pengamal bacaan Yasiin (surah daripada Al-Qur’an) secara khusus pada malam Jumaat sebagai pembuat bid’ah yang bakal masuk neraka dengan amalan tersebut. Bahkan, sebahagian mereka menganggap, maksiat itu lebih ringan daripada mengkhususkan baca Yasiin pada malam Jumaat secara budaya (tiada orang mengkhususkannya secara syarak). Akhirnya, sampai kepada natijah, buat maksiat lebih ringan lagi daripada mengkhususkan ibadah pada waktu tertentu tanpa dalil.

Ini juga penyakit pemikiran yang jika meresap masuk dalam sesuatu gerakan Islam, maka gerakan Islam itu hanya berpakaian haraki tetapi berjiwa Khawarij yang tasyaddud dalam memahami Islam dan ajarannya.

Imamuna Al-Banna sangat menitik beratkan soal keterbukaan dalam masalah khilaf pada Usul 20nya khususnya pada Usul kelapan. Mereka yang terlibat dalam fahaman keras (tasyaddud) ini tidak sewajarnya mengaku sebagai penerus usaha dakwah Imamuna Al-Banna kerana Imam Hasan Al-Banna berpegang dengan manhaj tasammuh (toleransi) dan wasatiyyah (pertengahan) sebagaimana roh ajaran Islam itu sendiri.

Oleh sebab itulah, kita seru kepada amilin dalam gerakan Islam agar kembali menghayati manhaj pemikiran Imam Hasan Al-Banna yang sebenar agar tidak menyimpang jauh daripada wawasan pemikiran asal beliau dalam dakwah dan islah. Ini tidak bermakna hanya Imam Hasan Al-Banna sahaja mempunyai tasawwur yang sempurna dalam hal ini, tetapi setidak-tidaknya, beliau adalah antara pendakwah yang diakui sehingga dalam kalangan ulama’ sendiri, akan keseimbangan manhaj dan pemikirannya dalam dakwah dan islah. Apa yang penting, ukurannya tetaplah sumber hukum Islam itu sendiri iaitulah Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

Wallahu a’lam

Al-Faqir ilallah

Al-Bannawi

Tuesday, October 6, 2009

Al-Qaradawi: Suatu Jemaah daripada Umat Islam

جماعات من المسلمين لا جماعة المسلمين

هناك على النقيض من هذه الفكرة فكرة أخرى: ترى العمل الجماعي فريضة، وتحصر هذه الفريضة في جماعة معينة ترى أنها وحدها تمثل الحق الخالص، وما سواها هو الباطل: (فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلاَّ الضَّلاَلُ فَأَنَّى تُصْرَفُونَ). (يونس: 32).

وبعبارة أخرى تصف هذه الفـئة نفسـها بأنـها "جماعة المسـلمين"، وليـست مجـرد "جماعة من المسلمين" وما دامت هي جماعة المسلمين فكل من فارقها فقد فارق الجماعة، وكل من لم يدخل فيها، فليس في جماعة المسلمين!

وكل ما جاء من أحاديث عن (الجماعة) ولزوم "الجماعة"، ومفارقة "الجماعة" تنزل على جماعتها.
وهذا النوع من الاستدلال، وتنزيل النصوص على غير ما جاءت له، باب شر على الأمة؛ لأنه يضع الأدلة في غير مواضعها

ومن هؤلاء من يجعل الحق مع جماعته أو حزبه دون غيره، لمبررات موضوعية يسبغها على حزبه أو جماعته وحدها، وينفيها عمن سواها.

وكثيرًا ما يضع بعضهم أوصافًا فكرية وعملية، عقدية وخلقية، يحدد بها "جماعة الحق" أو "حزب الحق" لتنطبق على جماعته دون غيرها، وهذا نوع من التكلف والتعسف لا يقبله منطق العلم.
وثمة آخرون يجعلون التقدم الزمني هو المعيار الأوحد، فمن سبق غيره فهو الجدير بأن يكون هو صاحب الحق، أو محتكر الحق والحقيقة.

حتى زعم بعض الأحزاب في بعض البلاد الإسلامية أنه وحده يمثل الحق؛ لأنه الحزب الأول الذي أخذ زمام المبادرة، وكل حزب يشكل بعد ذلك يجب أن يلغي نفسه، ولا حق له في البقاء؛ لأن قبول الجماهير له بمثابة المبايعة له، وفي الحديث: "إذا بويع لخليفتين، فاقتلوا الآخر منهما". (رواه أحمد ومسلم عن أبي سعيد كما في صحيح الجامع الصغير 421).

إن هذه الفتاوى الجاهلة الجريئة من أناس لم ترسخ أقدامهم في علوم الشريعة. هي التي تورد الأمة شر الموارد، وتوقعها في شر المهالك. ولقد قال بعض الفقهاء في العصور الماضية حين رأى فتاوى بعض من ينتسبون إلى العلم: لبعض من يفتي الناس اليوم أحق بالسجن من السرّاق! وذلك لأن السراق يفسدون دنيا الناس، وهؤلاء يفسدون عليهم دينهم.

فكيف لو رأى أولئك الفقهاء ما نقرؤه أو نسمع من فتاوى زماننا؟ ولا حول ولا قوة إلا بالله.

Jemaah-jemaah dari kalangan Muslimin, bukan Jemaah Muslimin

Dr. Yusuf Al-Qaradawi berkata dalam sebahagian fatwanya tentang ‘Amal Jama’ie:

“Di sana ada pertentangan dengan fikrah ini (mengharamkan ‘Amal Jama’ie secara haraki) iaitu fikrah yang menyatakan: “Amal Jamai’e itu suatu kefardhuan dan kefardhuan (Amal Jama’i) tersebut hanya terbatas kepada sesuatu jemaah tertentu sahaja. Jemaah itu melihat hanya ia satu-satunya merupakan kebenaran yang mutlak sedangkan jemaah-jemaah (Islam) yang lain adalah batil. Bagai firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka apakah lagi setelah kebenaran melainkan kesesatan…” [Surah Yunus: 32]

Dalam ungkapan lain, golongan ini menyifatkan diri mereka sahaja sebagai Jemaah Muslimin bukan sekadar salah satu jemaah daripada umat Islam. Selagimana golongan tersebutlah satu-satunya jemaah muslimin (yang perlu disertai oleh seluruh umat Islam), maka sesiapa sahaja yang tidak menyertainya bererti telah berpisah daripada Al-Jamaah (kelompok umat Islam yang dimaksudkan dalam hadith-hadith Nabi s.a.w.). Maksudnya, sesiapa yang tidak menyertai jemaah tersebut, maka tidak menyertai Jemaah Muslimin keseluruhannya.

Adapun semua hadith-hadith yan menceritakan tentang Al-Jamaah atau kepentingan menyertai Al-Jamaah dan (kecelaan) berpisah dari al-Jamaah berkaitan dengan Jemaah golongan tersebut. Jenis Istidlal (pendalilan) sebegini dan meletakkan nas-nas bukan pada konteks asalnya merupakan pintu keburukan dalam Umat Islam kerana meletakkan dalil-dalil bukan pada tempatnya.

Ada dari kalangan mereka yang menjadikan kebenaran hanya bersama jemaahnya sahaja atau dalam parti (kumpulan) mereka sahaja, tidak pada jemaah-jemaah yang lain untuk tujuan pembenaran yang dikembangkan (disempurnakan) ke atas kelompok atau jemaahnya sendiri lalu menafikannya daripada jemaah atau kumpulan yang lain daripada kumpulannya.

Sebahagian mereka banyak membentuk sifat-sifat samada ianya dalam bentuk fikrah mahupun praktikal, samada dalam bentuk pegangan mahupun tingkah-laku, yang mana mereka membataskan dengannya (pembentukan sifat-sifat sesuatu kumpulan tersebut dari sudut fikrah, praktikal, pegangan mahupun tingkah laku tersebut) kepada (konsep) Jamaah Al-Haq (satu-satunya jemaah yang benar dalam memahami amal jama’ie yang dimaksudkan oleh Islam) atau Hizb Al-Haq (kumpulan yang benar) agar ianya (konsep satu-satunya jemaah yang benar) dapat diterapkan hanya kepada jemaahnya sahaja, bukan pada jemaah yang lain. Ia merupakan suatu takalluf (pembebanan) dan penyalahgunaan yang tidak dapat diterima oleh logika ilmu itu sendiri. Sebahagian pihak yang lain pula bersifat menjadikan Taqoddum Zamani (dahulunya tempoh masa) sebagai suatu ukuran yang tunggal iaitu, siapa sahaja yang mendahului yang lain (atau jemaah mana yang dibentuk lebih awal) maka dialah pemilik kebenaran atau pihak yang sepatutnya memonopoli kebenaran dan hakikat.

Sehingga sebahagian kumpulan di sesetengah negara Islam menyangka bahawasanya kumpulan mereka sahaja mewakili kebenaran kerana ianya merupakan kumpulan pertama yang mengawal inisiatif (dalam amal jama’ie) sedangkan setiap kumpulan yang dibentuk setelah itu perlu membuang diri mereka dan tidak ada hak untuk kekal (tidak boleh diwujudkan) kerana penerimaan majoriti kepadanya (jemaah yang awal) seumpama suatu bai’ah (khilafah) bagi jemaah tersebut sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadith: “Jika diberi bai’ah kepada dua khalifah, maka perangilah yang terakhir daripada kedua-duanya” [hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim].

Inilah fatwa-fatwa jahil lagi bersifat cabang yang lahir dariapda manusia yang tidak menguasai ilmu syariah secukupnya. Fatwa sebeginilah yang membawa umat Islam kepada jalan kebinasaan dan meletakkannya dalam kecelakaan. Oleh kerana itu, telah berkata sebahagian Fuqaha’ pada masa-masa terdahulu ketika melihat fatwa-fatwa sesetengah orang yang mengaku-ngaku sebagai ahli ilmu: “Sebahagian daripada mereka yang memberi fatwa kepada manusia awam itu, lebih berhak dimasukkan ke dalam penjara berbanding pencuri-pencuri kerana para pencuri merosakkan dunia manusia sedangkan mereka (orang jahil yang berfatwa) merosakkan agama manusia.

Bagiamana kalau para fuqaha’ tersebut melihat apa yang kita baca atau kita dengar tentang fatwa-fatwa (pelik) pada zaman kita pula? La Haula wa La Quwwata illa biLlah

Terjemahan:

Al-Faqir illah

Al-Bannawi